TAHUN 2018 semakin menghampiri ke penghujungnya dan tidak dinafikan memang banyak kejadian yang berlaku di dalam industri seni sepanjang tahun ini.

Berikut merupakan antara cerita kontroversi artis yang pernah menggemparkan industri hiburan tanah air.

Aishah tuntut hadiah

Kemelut yang berlaku antara penyanyi Aishah juga merupakan juara Gegar Vaganza musim keempat masih berlanjutan.

Kedua-dua wanita itu masing-masing mengemukakan surat tuntutan berhubung isu hadiah kemenangan.

Aishah menuntut hadiah barangan kemas setara RM80,000 dan permohonan maaf atas representasi yang salah telah dibuat berkenaan rantai berlian itu selepas mendapatkan pengesahan daripada pakar permata (gemotologist).

Sementara itu DSV menuntut penyanyi itu membuat permohonan maaf secara terbuka. Menurut DSV, perkataan ‘berlian palsu’ yang sering digunakan oleh Aishah memberikan impak yang besar kepada perniagaan beliau terutama sekali membabitkan kedai emasnya.

Farid Kamil ditahan polis

Awal tahun 2018 industri hiburan dikejutkan dengan insiden pelakon Datuk Farid Kamil didakwa telah menampar seorang anggota polis dan seorang orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Dalam tangkapan selepas kejadian itu, Farid didapati positif dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol.

Pun begitu, Farid mendakwa pelakon Sofi Jikan telah memasukkan dadah ke dalam minumannya. Sofi ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan selepas didapati positif dadah jenis ganja

Farid yang masih dalam tempoh perbicaraan bagaimanapun mengakui tidak bersalah di Mahkamah Majistret termasuk empat pertuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira jam 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Sehingga kini Farid masih lagi dalam proses perbicaraan.

Pil eramin 5 dalam beg Uqasha Senrose

Pelakon cantik Uqasha Senrose pernah ditangkap pada 5 Mei lalu yang membabitkan penemuan pil eramin 5 di dalam beg tangannya.

Ceritanya, Uqasha terlibat dalam satu kemalangan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Rentetan daripada kemalangan itu pihak polis menjumpai pil eramin 5, namun ujian air kencingnya negatif.

Bagaimanapun kes tersebut sudah selesai.

Syamsul Yusof heret Sasuke Kun ke mahkamah

Gara-gara ghairah berkongsi filem Munafik 2 secara haram, seorang lelaki yang dikenali Sasuke Kun telah dijatuhkan hukuman denda RM100,000 oleh mahkamah selepas kedegilannya menurunkan link tersebut.

Menurut Datuk Yusof Haslam, berkata, tindakan syarikat mengheret pihak terbabit ke muka pengadilan bukanlah atas niat menganiaya orang.

Sementara itu, Syamsul pula berkata, dia sudah memberikan amaran isu penyebaran secara haram di media sosial, namun degil.

Tambah Syamsul ramai lagi yang bakal dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan sama sebarkan klip atau filem penuh di media sosial.

Jantina Sajat

Sekitar awal Januari tahun ini, pemilik nama Sajat Kamaruzzaman menjadi topik paling hangat.

Dia dicabar oleh seorang individu bernama Papagomo untuk mengesahkan jantinanya yang sebenar.

Susulan itu Sajat sudah mengadakan pertemuan dengan pihak JAKIM bersama kedua ibu bapa di Wisma Nur Sajat, di Shah Alam pada 16 Januari.

Sebulan selepas itu, menurut pihak JAKIM, Dr Mohd Izwan Md Yusof telah mendedahkan identitinya yang sebenar, iaitu khunsa.    

Haqiem Rusli hadapi tekanan perasaan

Pertengahan tahun ini, penyanyi popular menerusi lagu Jatuh Bangun menjadi bualan hangat masyarakat berikutan status yang dimuat naik berhubung isu kemurungan dan mahu menarik diri dari dunia hiburan.

Haqiem didakwan menggunakan gimik tekanan perasaan untuk mempromosikan single terbaharunya.

Rentetan itu, Haqiem bukan sahaja menerima kecaman netizen, bahkan rakan artis juga tidak ketinggalan meluahkan pendapat tindakannya yang tidak wajar.

Dalam satu sidang media, Haqiem bagaimanapun menafikan kenyataan tersebut sekadar gimik. Jelasnya yang mengakui mengalami mild depression bermula kira-kira setahun lalu.

Haqiem turut mengakui kesan daripada itu, dia menghadapi beberapa masalah kesihatan seperti insomnia, keletihan dan berat badan yang tidak stabil.

Elfira Loy & Sufian Suhaimi putus tunang

Satu majlis pertunangan antara pasangan artis Elfira Loy dan Sufian Suhaimi telah diadakah besar-besaran pada 6 Oktober 2017, namun berakhir pada 18 Februari 2018.

Sebelum itu, spekulasi status pertunangan pasangan itu mula diperkatakan sejak Disember 2017 lalu apabila mereka tidak lagi memuat naik foto bersama di laman sosial.

Spekulasi tersebut akhirnya terjawab apabila ibu Elifram Filzah Yusoff, mengesahkan sendiri pertunangan anaknya dengan Sufian sudah putus.

Tidak lama kemudian, Elfira, 24, pada awal September lalu, Elfira selamat menjadi tunangan kepada lelaki bernama Faris Khairol Anuar yang merupakan anak kepada seorang usahawan bergelar Datuk.

Lancar tudung di kelab malam

#BELOFA, itulah jenama tudung Naelofar Hijab milik pengacara terkenal, Neelofa yang pernah menjadi trending sekitar Februari lalu kerana dilancarkan di sebuha kelab malam di Kuala Lumpur.

Enggan ambil pusing dengan segala tohmahan dan kritikan ramai, Lofa menegaskan, dia mempunyai alasan tersendiri dalam memilih lokasi tersebut sebagai majlis pelancaran produk terbaharunya.

Video Panas

Satu demi satu video rakaman aksi lucah membabitkan nama artis tempatan tersebar.

Bermula dengan Syafiq Kyle, Ammar Effendy anak kepada Rozita Che Wan, Ammar Alfian kemudiannya Ameer Forteen. Masing-masing mengakui video memaparkan video mirip wajah mereka adalah orang lain dan memandang serius hal ini dan penyebar itu akan berdepan undang-undang.

Sementara itu, video Zaquan Adha, isterinya Ayu Raudhah tampil menjelaskan bahawa ia merupakan video peribadi mereka yang tidak mahu dijelaskan dengan lebih lanjut kerana ia isu sensitif yang tak perlu dihebahkan kepada umum.

Insiden artis di pentas

Baby Shima: Awal Ogos sewaktu pertandingan Big Stage, penyanyi Baby Shima pengsan secara tiba-tiba sebaik sahaja habis persembahannya pada malam itu.

Awalnya para penonton menganggap ia adalah gimik, namun hakikatnya benar-benar terjadi apabila Baby Shima tidak sedarkan diri.

Baby Shima pengsan akibat terlalu penat kerana kerap ulang alik ke Kuala Lumpur - Indonesia.

Zamani: Penyanyi Gerimis Mengundang hilang suara ketika bertanding dalam program Gegar Vaganza musim kelima.

Keadaan kesihatan Zamani menjadi bualan ramai pihak apabila penyanyi itu gagal mendendangkan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta.

Meskipun begitu, Zamani diiringi juri profesional dan seluruh audiens menyanyikan lagu tersebut.

Susulan itu, Zamani tampil memohon maaf atas kejadian lalu dan berterima kasih kepada orang ramai kerana setia menyokongnya sehingga berjaya memasuki peringat akhir.