BIARPUN pernah digosipkan mempunyai hubungan istimewa sebelum ini, pelakon Uqasha tidak ada masalah untuk bergandingan dengan Ben Amir dalam sitkom Spanar Jaya X yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Jika sebelum ini Uqasha pernah mengeluarkan kenyataan sedang mengenali hati budi hero drama Air Mata Di Bumi Matador itu, namun kini hubungan mereka tidak lebih sekadar kawan.

“Memang sebelum ini kami melalui proses mengenali hati budi masing-masing, namun saya merasa lebih selesa dan sesuai sebagai kawan dengan dia. Kami masih berkawan baik sehingga ke hari ini.

“Sebenarnya Spanar Jaya X ini merupakan kerjasama pertama saya dan Ben. Biar apa pun orang perkatakan tentang kami, hakikatnya saya selesa berkawan dan bekerja dengan Ben” katanya.

Meski pernah beberapa kali hubungan cintanya bersama rakan artis terputus di tengah jalan, pelakon yang bakal muncul dengan drama Setelah Terlafaz Akadnya ini tidak pernah serik dengan pengalaman lalu dan percaya kepada ketentuan jodoh.

“Orang di luar sana boleh fikir apa sahaja, tetapi bagi saya semestinya mahu mencari yang terbaik sebelum memutuskan untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya tidak mahu berkahwin beberapa bulan dan kemudiannya membawa haluan masing-masing atas alasan tiada keserasian dan akhirnya turut memberi kesan kepada orang di sekeliling.

“Saya dari keluarga yang pernah melalui situasi itu dan kalau boleh tidak mahu anak-anak saya nanti melalui perkara serupa. Jadi dalam soal calon ini, saya betul-betul serahkan kepada ketentuan jodoh dan takdir,” tegas Uqasha yang mengakui masih single.