News

Hussamuddin gesa umat Islam jadi pencerah masa depan
News

Hussamuddin gesa umat Islam jadi pencerah masa depan

Oleh: RIDAUDDIN DAUD

KUALA LUMPUR – Umat Islam perlu membaca, memahami dan mengamalkan kandungan al-Quran serta sematkan segala ilmunya di dalam hati bukan hanya dalam fikiran.

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub berkata, kesalahan umum dilakukan umat Islam adalah menganggap perkara yang ALLAH sebutkan dalam al-Quran bukan ditujukan kepada diri mereka.

Beliau memberitahu Wacana al-Kahf di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur, semalam, bahawa semua umat Islam perlu mulakan kebangkitan memasukkan al-Quran ke dalam hati agar mereka faham bukan sahaja tafsirnya tetapi juga memahami ALLAH berbicara kepadanya melalui kitab tersebut.

Kuala Lumpur: April 17 2019: Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub menyampaikan hujah pada World Convention Al-Kahf di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam. Foto Sinar Harian Rosli Talib

“Kalau orang betul-betul nak melalui proses menjadi orang Islam, dia tak kata solat dulu tapi iqra’ (baca) dulu. Baca pun bukan baca sahaja tapi kena baca dengan kefahaman.


“Bila baca dengan kefahaman, ia akan masuk ke hati. Itu sebab dalam Islam selalu sebut pasal qalbu (hati). Hati itu penting tapi kita selalu pegang pasal pemikiran.

“Kalau nilainya masuk ke hati dengan sendiri akan jadi amalan. Tugas kita adalah membumikan nilai al-Quran dalam hati. Masukkan al-Quran dalam hati, kita boleh ubah dunia, setiap insan boleh berubah,” katanya.

Dalam pada itu, ketika berbicara kisah surah al-Kahf, Hussamuddin mengakui beliau sungguh terkesan ketika membaca surah tersebut terutamanya selepas diperkenalkan dengan konsep tadabbur (mengamati) dan tazakkur (merasakan makna).

Berkongsi pengalamannya, beliau berkata, kisah pekebun dilanda taufan sehingga rosak tanamannya dalam surah tersebut turut dialaminya namun dalam konteks berbeza di mana perniagaan beliau juga pernah dilanda ‘taufan’.

“Tahun 1993, bangunan kilang saya terbakar dan pada masa itu saya yakin boleh bangunkan kembali dan saya berjaya lakukannya. Bila jatuh, saya rasa sedar tapi lepas itu saya sombong semula.

“Tapi kali ini ribut, badai yang dikirim ALLAH adalah dalam bentuk pemusnahan digital yang menyebabkan semua media besar di Malaysia terpukul. Dengan adanya media sosial, semua orang boleh jadi televisyen dan akhbar.

“Bisnes kami terpukul dan kami hilang jumlah pendapatan yang besar. Bukan kami saja terpukul, masyarakat di seluruh dunia juga terpukul,” ujarnya.Al-Quran solusi kepada semuaBeliau berkata, selepas dirinya memahami maksud surah al-Kahf, beliau rasa bertanggungjawab membina benteng untuk jiwa umat Islam bagi menyelamatkan mereka daripada terjerumus ke dalam ‘taufan’.

“Cara nak selamatkan ialah kita kena buat kempen besar-besaran supaya orang Islam bertaqwa. Caranya kena faham al-Quran dan agama Islam. Setiap orang masalahnya ­berbeza tapi al-Quran adalah solusi kepada semuanya,” tegas beliau.

Menurutnya, umat Islam perlu mengangkat al-Quran sebagai operating system mereka yang menerangkan cara untuk hidup, cara untuk mati serta menyimpan hasrat dan matlamat memastikan setiap umat Islam memahami al-Quran.

“Kita perlu jadi sang pencerah, bukan gelapkan masa depan. Ini yang saya rasa kita perlu gerakkan. Kami di Karangkraf dah lima tahun berusaha untuk bawa orang Islam kembali kepada asas iaitu agamanya,” ­katanya.

Write a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *