Blog

Isu sesak Jalan Bukit bakal selesai
News

Isu sesak Jalan Bukit bakal selesai

KAJANG – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah mengadakan perbincangan bersama penduduk dan Adun Kajang, Hee Loy Sian berhubung projek pembangunan dan kesesakan Jalan Bukit yang telah dibangkitkan oleh penduduk.

Yang Dipertua MPKj, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, pihaknya telah memperjelaskan isu tersebut, apabila ada projek ini, jalan tersebut akan dilebarkan oleh pemaju berkenaan.

“Walaubagaimanapun presepsi segelintir penduduk tidak percaya jalan tersebut boleh dilebarkan, kita telah melihat kawasan tersebut, rizab masih cukup untuk pelebaran jalan kira-kira 60 kaki.

Mohd Sayuthi berkata, pihaknya turut dimaklumkan Jalan Bukit itu akan dilebarkan kepada dua lorong dua hala.

“Saya telah dimaklumkan sebahagian pagar sebuah sekolah telah memasuki rizab, namun pemaju berkenaan akan mengalihkan pagar tersebut ke kawasan tapak sekolah.

“Ada sebahagian pula ada pengambilan dan serahan tanah, perkara ini dalam pelan kelulusan infrastruktur MPKj kepada pemaju,” katanya.

Beliau berkata, apabila projek pelebaran jalan ini siap kelak, berdasarkan Kajian Impak Trafik jalan berkenaan yang telah diiklasifikasikan pada tahap F akan menjadi tahap E.

“Kesesakan itu akan berkurangan berbanding keadaan sekarang, selagi projek pelebaran jalan ini tidak siap, kita tidak akan mengeluarkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) kepada pemaju,” katanya.

Mohd Sayuthi berkata, wakil penduduk juga telah mencadangkan beberapa penambahbaikan kepada cadangan pemaju.

“Ia termasuk kajian laluan Jalan Bukit terus keluar dan masuk ke Jalan Reko, kita juga memohon pemaju berkenaan membuat kajian tersebut,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sebahagian penduduk melibatkan enam taman perumahan di sekitar Jalan Bukit menyerahkan petisyen kepada MPKj menggesa supaya menghentikan dua projek pembangunan tersebut sehingga ia dibincangkan bersama bagi mengatasi isu yang telah dibangkitkan oleh penduduk

Pengerusi Badan Bertindak Jalan Bukit, V. Subramaniam berkata, jika projek itu diteruskan kualiti hidup penduduk bakal terjejas, selain mengakibatkan kesesakan lalu lintas semakin kritikal.

Penduduk telah menyerahkan memorandum kepada MPKj, antara isi kandungan memorandum tersebut termasuklah, ketiadaan pelan nyata untuk menangani kesesakan lalu lintas kesan daripada pembangunan itu.

Jalan Bukit merupakan laluan utama yang digunakan oleh penduduk untuk ke pekan Kajang dan kawasan sekitar.

Write a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *