News

Karangkraf syarikat penerbitan ikonik: Saifuddin
News

Karangkraf syarikat penerbitan ikonik: Saifuddin

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan Kumpulan Media Karangkraf merupakan syarikat penerbitan ikonik dalam Malaysia.

Menurutnya, ia boleh dianggap sebagai ikon kerana dibangunkan dari bawah, bukan dari mana-mana ahli politik atau konglomerat besar.

Tambah beliau, Karangkraf boleh dianggap syarikat penerbitan serba lengkap kerana mempunyai banyak majalah dan Sinar Harian yang meliputi pelbagai sasaran pembaca.

“Karangkraf juga mempunyai bahagian penerbitan buku khususnya novel-novel yang menjadi minat ramai, menerbitkan pula buku agama yang sangat penting.

“Mereka juga menerbitkan al-Quran yang sesuai dengan keperluan tempatan dan mempunyai akhbar Bahasa Melayu antara yang terbesar di Malaysia.

“Ia adalah satu-satunya akhbar yang bersifat tempatan. Contoh, kalau di Pahang ada 11 daerah, ada 11 muka surat, satu untuk setiap daerah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ditemui ketika melakukan lawatan di reruai Karangkraf di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu meluangkan masa hampir 30 minit melihat produk buku dan al-Quran dihasilkan Grup Buku Karangkraf.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memuji Sinar Harian dan menganggap akhbar itu bersikap adil dalam melaporkan berita politik Malaysia.

“Ada kajian tentang akhbar Bahasa Melayu merumuskan akhbar paling adil dari segi liputan politik adalah Sinar Harian.

“Sinar Harian juga terlibat dalam perkongsian ilmu dalam Wacana dan Bicara Minda. Ini luar biasa. Sebab itu saya anggap Karangkraf adalah syarikat penerbitan yang ikonik,” ujarnya.

Berlangsung dari 29 Mac hingga 7 April, PBAKL 2019 buat julung kalinya memperkenalkan kempen mesra alam sekitar iaitu pengurangan beg plastik selain transaksi tanpa tunai bagi pembelian buku.

PBAKL 2019 edisi ke-38 ini dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) bersama enam persatuan penerbit buku Malaysia.

Jangan lupa singgah ke reruai Karangkraf untuk mendapat pelbagai bahan bacaan menarik dengan diskaun memukau. – RIDAUDDIN DAUD

Write a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *