GELANG PATAH - Kerajaan negeri bercadang melaksanakan konsep apungan bagi setiap pembelian lot bumiputera untuk tujuan industri.

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu bagi menyelesaikan masalah halangan pembeli dalam kalangan industri mendapat lot sesuai bagi perniagaan mereka.

“Kita akan guna konsep apungan, sebagai contoh kawasan industri itu ada 100 lot, 40 peratus daripadanya masih dikekalkan lot bumi tetapi kita tidak akan tentukan dan tandanya dahulu.

“Maknanya kita tidak tentukan lokasi dia yang mana, jadi ia akan mudahkan pembeli untuk mereka beli lot bersebelahan, mereka boleh gabung untuk mendapatkan lebih keluasan.

Menurutnya, ia sekali gus membantu kerajaan untuk menarik minat lebih banyak pelabur dan pemain industri ke negeri ini.

“Kita faham ada daripada mereka yang menghadapi masalah ini, bila nak beli bersebelahan tidak boleh sebab lot itu dah spesifik hanya bumiputera sahaja,” katanya pada Program Pembaikan & Keceriaan Sekolah Angkat Forest City di Sekolah Kebangsaan Tanjung Adang, di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, pihaknya juga sudah menyediakan pelan keselamatan untuk mengelak daripada berlakunya sebarang penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita lakukan konsep ini hanya untuk kegunaan industri sahaja dan tidak termasuk perumahan atau hartanah lain. Kalau pembeli minat mereka hanya boleh jumpa pemaju dan maklumkan mana lot yang mereka mahu.

“Tetapi sebarang permohonan dibuat perlu menjalani proses saringan dan kelulusan bahagian perumahan juga. Kita masih kawal lagi jadi sebarang perkara mengenai itu kita sedia maklum,” katanya.