Sejujurnya, wanita ini wajar digelar ikon. Pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang penyiaran radio pastinya menyaksikan pelbagai perit jerih serta jatuh bangunnya wanita ini bergelar penyampai radio berkaliber. Bukan populariti yang dicari sebaliknya kecintaan yang begitu mendalam terhadap bidang ini menjadi inti pati kepada kecemerlangan dalam kariernya kini. Dialah Kudsia Kahar, personaliti tanah air yang cukup terkenal dengan ketegasan serta kelantangan suaranya saat melontarkan pandangan.

 

“Saya kini tidak lagi fokus kepada televisyen walaupun masih ada tawaran kerana saya lebih fokus kepada tugas-tugas di belakang tabir iaitu di radio. Saya mempunyai alasan yang tersendiri mengapa memilih untuk berada di belakang tabir. Salah satunya ialah untuk memantapkan lagi bakat serta pengalaman saya dalam bidang ini.

 

Saya ingin mendalami ilmu penyiaran radio dengan lebih mendalam lagi. Apatah lagi, kini bidang penyiaran radio turut mengalami impak daripada fenomena media baru berkonsepkan digital dan perkara ini saya pelajari ketika bergelar Naib Presiden di tempat saya bertugas dahulu,” jelas Kudsia optimis.

 

Biarpun pengalaman lebih 20 tahun namun sikapnya yang ingin terus belajar wajar diberikan pujian. “Walaupun masih baru namun saya gembira dan bertuah selama berada di sini kerana dikelilingi oleh sebuah pasukan yang ceria serta memiliki semangat kerjasama yang sangat tinggi. Hubungan kami umpama sebuah keluarga yang besar dan akrab. Sebagai pemimpin, saya juga banyak belajar daripada mereka bagaimana untuk memantapkan lagi syarikat.

 

Hari ini memerlukan seseorang itu untuk bergerak pantas. Usah berlengah dalam membuat keputusan. Begitulah juga jika anda seorang penyampai radio kerana bidang ini memerlukan tindakan yang sangat spontan. Ia bukan mudah jika seseorang itu tidak mempunyai kemahiran dan peka dengan perkembangan semasa. Oleh itu, jadilah seorang penyampai radio yang tidak ‘kosong’.

Hakikatnya, radio memainkan peranan sangat penting terhadap masyarakat. Segala maklumat dan bahan hebahan haruslah sahih dan tepat contohnya kejadian Tsunami yang berlaku pada tahun 2004. Waktu itu selain televisyen masyarakat juga memerlukan radio untuk mengetahui perkembangan semasa tentang kejadian.

 

Maka, setiap penyampai radio itu mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan maklumat sampai kepada masyarakat, bukan sekadar memberikan hiburan semata-mata,” ujar Kudsia yang berpegang kepada prinsip tidak berputus asa.

 

Siapakah tulang belakang wanita gigih ini dan apakah pula pandangan beliau mengenai pembangunan wanita masa kini. Ketahui semuanya dalam Nona keluaran Mac ini.