KUALA TERENGGANU - Biarpun kali pertama bersua, Mohd Alamin Jais, 44, kelihatan begitu ramah dan tidak lokek bercerita malah lebih terbuka s untuk berkongsi pengalaman hidupnya bersama penulis.

Walaupun dilahirkan tanpa jari sejak kecil, bagi Mohd Alamin, ia bukan halangan buat beliau untuk terus berkecimpung dalam perniagaan jahitan malah bidang itu kini menjadi sumber pendapatan bagi menampung keperluannya sekeluarga.

Bapa kepada empat anak yang berasal dari Kepong ini berkata, kini telah hampir 18 tahun dia membuka perniagaan jahitan khusus bagi membaiki, mengubahsuai dan memotong seluar jeans.

“Ini bukan kali pertama orang tanya bagaimana menjahit sedangkan tiada jari, malah pelanggan-pelanggan sebelum ini pun ramai yang bertanyakan soalan yang sama kepada saya. Jawapan saya, semangat dan minat yang kuat membantu saya dalam perkara ini.

“Semua yang kita inginkan akan jadi kenyataan dengan minat dan semangat yang ada dalam diri ini,” katanya sambil tersenyum.

Mohd Alamin berkata, sebelum ini dia pernah membuka perniagaan jahitan dan beroperasi di Bukit Puteri selama hampir lima tahun dan kini telah berpindah di lot perniagaan di atas Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sejak hampir 13 tahun lalu.

Menjawab persoalan mengenai minat dalam bidang jahitan ini, Mohd Alamin yang tidak pernah lekang dengan senyuman berkata, ia diwarisi daripada arwah ibunya, Aminah Puteh.

“Minat dan bakat dalam bidang jahitan ini memang dah ada sejak dulu lagi, sejak saya di bangku sekolah kebetulan ketika itu ibu saya juga kerja sebagai tukang jahit. Saya ada juga belajar sedikit sebanyak daripada arwah ibu yang memang mempunyai bakat besar dalam bidang ini.

“Selain menuntut ilmu daripada beliau, saya juga pernah menyertai kursus dalam bidang ini selama hampir dua tahun di sebuah bengkel Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pulau Kerengga ketika berusia 19 tahun,” katanya yang menetap di Kampung Belukar Sukai, Kepong.

Mohd Alamin yang merupakan anak kedua dari lapan adik-beradik berkata, dia kini tinggal bersama keluarga dan bapanya, Jais Nawi, 60.

 

Dorongan jadi pembakar semangat

Katanya, dia bersyukur walaupun dilahirkan dengan kekurangan itu, dia mempunyai ikatan yang erat bersama adik-beradik lain malah mereka memberi dorongan dan semangat buat dia untuk terus berjaya dalam kerjaya itu.

“Dalam keluarga, saya sahaja yang mengalami kecacatan ini (dilahirkan tanpa jari) dan kesemua adik-beradik yang lain normal. Saya bersyukur kerana mereka banyak membantu memberi semangat dan dorongan buat saya untuk berjaya dalam bidang ini.

“Alhamdulillah, minat dan semangat yang ada mengatasi kekurangan yang ada pada diri saya untuk terus berjaya dan saya sememangnya menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang peniaga yang berjaya jika tidak membuka kedai jahit,” katanya.

Mohd Alamin berkata, selain sokongan adik-beradik, dia juga mendapat sokongan daripada isteri dan anak-anak yang memahami keadaannya itu.

Katanya, anak sulungnya, Adawiyah, 13, kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, anak keduanya Riduan, 8, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kepong dan anak ketiga, Firdaus, 6, dan Zatul Adawiyah, 4, tinggal bersama isteri, Zuriana Ismail, 41, yang tidak bekerja.

“Anak-anak adalah penguat semangat saya, begitu juga isteri yang sering memberi semangat buat saya. Isteri saya tidak bekerja dan menjadi suri rumah. Alhamdulillah dengan pendapatan yang ada, ia mampu menampung keperluan kami sekeluarga,” katanya.

Mohd Alamin berkata, kedai jahitnya yang beroperasi jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang itu menerima ramai pelanggan sama ada pelanggan tetap dan pelanggan baru.

“Setakat ini memang saya hanya buat untuk seluar jeans sahaja dan tempoh untuk siap bagi setiap tempahan pelanggan bergantung atas berapa yang diterima. Jika saya ada kelapangan, akan siap cepat.

“Sebenarnya tempahan pelanggan juga bermusim, kalau musim perayaan Aidilfitri atau perayaan-perayaan lain, memang ramai pelanggan yang datang, kalau hari biasa, tidak begitu ramai tetapi pelanggan tetap ada,” katanya.

Ditanya harga yang ditawarkan bagi setiap perkhidmatan, Mohd Alamin berkata, ia bergantung atas perkhidmatan yang diinginkan pelanggan.

“Kalau ada yang mahu potong seluar sahaja, harga dikenakan RM4, kalau mahu kecilkan saiz seluar (RM10) dan kalau mahu ubahsuai seluar RM10 hingga RM20 bergantung pada apa yang ingin diubahsuai,” katanya.