SELEPAS membuat kemunculan pertama menerusi filem Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah, 61, mengimpikan untuk membawa karakter utama tidak kisah menerusi filem mahupun drama.

Menurut Rani Kulup, biarpun pertama kali berlakon menerusi filem arahan Eyra Rahman, namun dia tidak berasa kekok dan teruja untuk terus berlakon selepas ini.

"Pertamanya saya berterima kasih kepada media yang membantu menaikkan nama saya sehinggalah saya berada di tahap ini.

"Tentang tawaran pula, buat masa ini saya sudah mendapat tawaran dari KRU Studios dan Skop Productions Sdn Bhd, tapi saya tak pasti apa naskhahnya.

"Tapi saya bersedia untuk terus aktif di dalam bidang lakonan dan kalau boleh saya mahu watak yang lebih mencabar," katanya kepada Zass.

Selain Rani Kulup, filem tersebut turut dijayakan barisan pelakon seperti Atikah Suhaime, Hafreez Adam, Vicha Syawho dan Kartina Aziz.

Ditanya apakah karakter yang diimpikan, Rani Kulup berkata, dia mahu menjayakan watak aksi.

"Kalau dalam filem Tamil, hero tua masih laku, kenapa tidak dalam filem Melayu," katanya.

Bahkan ujar Rani Kulup, dia akan terus menggunakan tagline Kipidap kerana ia sebenarnya mempunyai maksud tersirat.

"Maksud Kipidap adalah kita pilih damai dan perpaduan itulah erti sebenar perkataan itu. Banyak mesej yang boleh kita terjemahkan melalui pengertian itu.

"Jadi sambil berlakon, saya boleh sampaikan mesej kepada penonton menerusi tagline itu,” ujarnya.

Tambah Rani Kulup, dia sememangnya mencintai bidang seni dan berharap penglibatannya di dalam bidang ini akan mendapat sokongan dan respons positif.

Menerusi filem Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi, Rani Kulup memegang watak sebagai Tok Daddy, bergandingan bersama Kartina Aziz yang membawakan watak sebagai Nanny Rockie atau nama sebenarnya Nek Rokiah.

Mereka berdua membesarkan adik-adik Sapura (lakonan Atikah) iaitu Akim, Afiq dan Sarah selepas kematian ibu serta ayah mereka.

Filem ke-113 terbitan MIG ini sudah mula menemui penonton di pawagam sejak 17 Mac lalu.