McDonald’s Malaysia mendapat pengikirafan penting dalam pembangunan modal insan yang diberikan oleh Kementerian Sumber Manusia sebagai penyedia program latihan di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Pencapaian ini menunjukkan komitmen McDonald’s dalam menyokong agenda negara bagi membolehkan Malaysia mencapai sasaran 35 peratus pekerja berkemahiran dari keseluruhan tenaga kerja menjelang tahun 2020.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, penyertaan McDonald’s dalam SLDN dan pengiktiran yang diterima bakal meningkatkan piawaian syarikat dalam inisiatif pembangunan modal insan.

“McDonald’s Malaysia sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan tahap kompetensi kakitangannya sebagai sebahagian daripada komitmen mewujudkan kepelbagaian dalam pasukan dan menghasilkan kakitangan yang terlatih," katanya pada Majlis Pelancaran SLDN McDonald’s yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Richard Riot Anak Jaem.

Katanya, selain menerima manfaat dari tajaan penuh bagi program latihan, setiap pelatih diberi elaun hidup sebanyak RM1,200, manfaat perubatan dan insurans serta makanan percuma.

“Ini akan membantu peserta fokus dalam pembelajaran dan mendapatkan kemahiran sewajarnya tanpa bimbang keperluan kewangan harian mereka,” katanya.

Disamping itu, Azmir turut menjangkakan masa hadapan yang baik untuk McDonald’s.

“Kami mempunyai pelan pembangunan yang bukan sahaja mencerminkan perniagaan yang berkembang positif, tetapi mampu meningkatkan status ekonomi rakyat Malaysia.

“Menjelang tahun 2025, kami mensasarkan kewujudan 450 buah restoran dan tambahan 10,000 peluang pekerjaan dari 12,000 tenaga kerja sekarang,” katanya.

McDonald’s merupakan pengendali restoran khidmat segera pertama yang menerima pengiktirafan SLDN daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.