News

Peniaga rugi lebih RM18,000 termakan umpan scammer
News

Peniaga rugi lebih RM18,000 termakan umpan scammer

KUANTAN – Seorang peniaga rugi lebih RM18,000 akibat terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam menyamar sebagai kakitangan syarikat telekomunikasi di sini, semalam.

Wanita berusia 53 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki  memperkenalkan diri sebagai kakitangan syarikat tersebut untuk pengesahan berhubung dua talian telefon rumah atas nama pengadu.

Suspek mendakwa kemungkinan butiran peribadi mangsa disalahguna pihak tertentu  dan perlu semakan untuk siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, seperti biasa suspek menyambung panggilan kepada seorang lelaki kononnya pegawai polis untuk membuat semakan sebelum  memaklumkan mangsa dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

“Mangsa diarah supaya memindahkan semua wang dalam akaunnya ke akaun yang disediakan bagi tujuan siasatan dan menyelesaikan kes tersebut.

“Bimbang dikenakan tindakan berat, mangsa mengikut arahan suspek dengan memindahkan wang dalam akaunnya berjumlah RM18,450 ke akaun atas nama seorang lelaki yang diberikan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas membuat pindahan wang, mangsa menghubungi suspek namun gagal.

“Mangsa yang sedar ditipu tampil membuat laporan polis semalam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis kini sedang mengesan pemilik akaun bank yang digunakan bagi membantu siasatan,” katanya.

Write a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *