DATUK Peter Anthony kini sah sebagai peneraju Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) selepas majoriti daripada 26 anggota gabungan bersetuju beliau sebagai pemangku presiden persatuan berkenaan.

Persetujuan itu dicapai pada kongres Safa yang dipengerusikan Timbalan Presiden 2 Safa, Datuk Rahman Zakaria di pejabat persatuan tersebut, di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas kongres itu, Peter mengucapkan terima kasih kepada semua anggota gabungan Safa yang bersetuju dan menyokong beliau menjadi pemangku presiden.

"Kesepakatan ini juga membolehkan pasukan Sabah terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan. Pada awalnya memang ada sedikit rintangan, namun, saya memuji kesemua ahli gabungan kerana sanggup mengetepikan perbezaan pendapat demi menyelamatkan bola sepak negeri ini.

"Tujuan kongres luar biasa ini diadakan sebenarnya bukanlah untuk merombak keseluruhan pucuk pimpinan Safa, tetapi kerana ada beberapa jawatan penting yang ditinggalkan perlu diisi, maka ia perlu diadakan," katanya.

Pada masa sama, Peter turut mengumumkan Jelius Ating kekal sebagai ketua jurulatih pasukan Sabah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2019.

Selain itu, tiga jawatan penting Safa turut diisi hari ini, menyaksikan kesemuanya bekas pemain negeri berkenaan, Andrew Majanggim sebagai Setiausaha Agung, Yap Wai Loon (Bendahari Agung) serta Henry Soimpon selaku pengurus pasukan Sabah.

"Kita juga  membuat keputusan untuk melanjutkan kontrak 16 pemain sebagai permulaan dengan selebihnya akan ditentukan barisan pengurusan serta kejurulatihan, kemudian.

"Banyak kita perlu lakukan bagi memastikan kita terus beraksi dalam saingan Liga Malaysia...esok tarikh akhir pendaftaran pertama pemain, banyak dokumen perlu diselesaikan namun saya yakin kita akan dapat atasinya," kata beliau.

Seramai 16 pemain yang dilanjutkan kontrak ialah Rawilson Batuil; Randy Baruh Samson; Jenius Karib; Dendy Lowa; Mohd Azzizan Nordin; Maxsius Musa; Ummareng Bachok; Justin Samaan; Ricco Nigel Milus; Sabri Sahar; Mohd Azwan Fattah; Rahman Shah Marajeh; Mazlan Yahya; Rozaimie Rohim; Rendy Robson Rining; dan Mohd Sakri Masri. - Bernama