HARIMAU Malaya membuktikan semangat juang apabila bangkit dua kali untuk mengikat kedudukan 2-2 pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Dua gol dalam tempoh masa lima minit dijaringkan Nguyen Huy Hung dan Pham Duc Huy pada separuh masa pertama sebelum Malaysia bangkit menyamakan kedudukan melalui Shahrul Saad serta Safawi Rasid mewarnai aksi menarik di stadium yang dibanjiri kira-kira 88,000 penyokong.

Melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama ekoran kecederaan dialami Mohamad Aidil Zafuan dan penggantungan perlawanan, Syahmi Safari anak didik Tan Cheng Hoe bermain agresif sebaik sahaja wisel perlawanan dibunyikan pengadil perlawanan dari Australia, Beath Christopher James.

Kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha pada minit ke-15 hampir menggembirakan puluhan ribu penyokong Malaysia namun sedikit tersasar melewati palang gol.

Kehilangan Aidil dan Syahmi memberikan impak ketara buat Harimau Malaya apabila Naga Emas menjaringan dua gol dalam tempoh lima minit melalui Nguyen Huy Hung minit ke-21 sebelum Pham Duc meledak gol kedua empat minit kemudian.

Penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha mengawal bola ketika diasak oleh pemain Vietnam pada aksi akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018, Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. - Foto Bernama

Gol tersebut tidak melemahkan semangat pemain negara apabila terus melancarkan serangan memburu gol dan akhirnya berjaya merapatkan kedudukan melalui tandukan Shahrul Saad pada minit ke-35 yang menyempurnakan sepakan percuma dari Syamer Kutty Abba.

Memasuki masa tambahan separuh masa pertama, Malaysia memiliki peluang namun rembatan lemah Zaquan dari luar kotak penalti berjaya ditangkap kemas penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam.

Memasuki minit ke-58, Harimau Malaya membuat pertukaran dengan mengeluarkan Amirul Azhan dan memasukkan Syafiq Ahmad untuk menambahkan sengat dibahagian serangan.

Asakan berterusan tuan rumah memastikan Vietnam melakukan kesilapan dengan memberikan sepakan percuma diluar kotak penalti dimanfaatkan sepenuhnya Safawi Rasid yang melakukan sepakan lencong menewaskan Van Lam untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-60.

Malaysia terus menggandakan serangan memburu gol ketiga dan hampir memperolehinya melalui sepakan percuma Syafiq Ahmad pada minit ke-90 namun digagalkan Van Lam untuk memastikan keputusan kekal dengan 2-2.

Malaysia bakal membuat perhitungan kedua di Hanoi, Sabtu ini bagi menentukan juaran Piala AFF Suzuki 2018.