BELANJAWAN bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor, akan dimuktamadkan pada bulan Januari atau Februari tahun hadapan, selepas Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri mendapatkan butirannya dengan lebih terperinci.

Pengerusi jawatankuasa itu, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, butirannya akan dimaklumkan kepada orang ramai selepas dimuktamadkan, dan menurutnya jumlah yang terlibat ‘agak besar”.

Katanya, beliau sudah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan berbincang dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengenai perkara itu.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 antara Malaysia dan Vietnam di skrin besar di sini, malam tadi.

Sementara itu, Khuzzan berkata, pihaknya melakukan ‘post mortem’ terhadap semua persatuan sukan di Johor bagi mendapatkan maklum balas mereka berhubung persiapan atlet-atlet negeri dalam menghadapi kejohanan berkenaan.

"Untuk makluman, semua jurulatih bersama Majlis Sukan Negeri Johor (MSN) kini berada di Morib, Selangor bagi mengenal pasti apakah persediaan yang perlu dibuat untuk Sukma 2020, " katanya. - Bernama