KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) akan menaikkan elaun bulanan sebanyak RM500 kepada pemenang pingat Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan pemenang pingat emas dalam kedua-dua kejohanan itu akan menerima RM4,000 diikuti pingat perak RM3,500 dan pingat gangsa RM3,000 bermula tahun depan.

Syed Saddiq mengumumkan perkara itu pada majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) 2018 di Gimnasium II Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, hari ini.

“Tahniah kepada atlet, skim SHAKAM akan diteruskan, kita akan terus membantu atlet mara ke hadapan untuk membanggakan negara, kita akan usahakan sebaik mungkin.

“Ini adalah pengiktirafan kepada mereka dan dalam masa yang sama, kepada atlet yang tidak disenaraikan bukan bermaksud mereka tidak penting… kebajikan atlet tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Jumlah keseluruhan SHAKAM 2018 hampir RM6.24 juta (RM6,236,000) dengan pecahan tiga temasya  sukan iaitu Sukan Komanwel Gold Coast, Sukan Asia Jakarta-Palembang dan Sukan Para Asia Jakarta serta  beberapa kejohanan Dunia – Kejohanan Tenpin Boling Lelaki Dunia, Kejohanan Pencak  Silat  Dunia dan Kejohanan Bina Badan Dunia.

Sementara itu, atlet para negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi muncul penerima tertinggi insentif SHAKAM dengan jumlah RM260,000.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu menampilkan prestasi luar biasa sepanjang Sukan Para Asia 2018 di Jakarta selepas merangkul pingat emas dalam acara 100 meter (m), 400m dan lompat jauh kategori T36. - Bernama