KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan tiga penerbangan sewa khas mungkin diaturkan bagi membawa penyokong skuad Harimau Malaya untuk menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Hanoi, Vietnam, 15 Disember ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan negara mengenai perkara itu supaya lebih ramai peminat bola sepak tempatan dapat memberi sokongan kepada pasukan negara dalam perlawanan berkenaan.

“Semasa perlawanan separuh akhir kedua sebelum ini (di Bangkok, Thailand), pihak AirAsia bersetuju sediakan  penerbangan sewa khas dan kali ini, saya nak pastikan perkara sama berulang cuma kita nak tambahkan lebih banyak penerbangan.

“Saya sedang berbincang dengan pihak Malaysia Airlines dan juga AirAsia. Kita mahu suara penyokong Ultras Malaya didengari pada perlawanan akhir kedua tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau, bagaimanapun berkata sebarang keputusan mengenai usaha tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat. - Bernama