PERLUMBAAN Formula E ‘Saudia’ Ad Diriyah E-Prix 2018 membuka tirai di bandar bersejarah Ad-Diriyah di Riyadh yang juga merupakan tapak warisan Unesco, berlangsung tiga hari bermula hari ini.

Formula E merupakan perlumbaan rasmi ABB FIA, iaitu kelas perlumbaan kereta yang hanya menggunakan kereta berkuasa elektrik.

Dianggarkan seramai 40,000 pengunjung dari seluruh dunia termasuk dari Amerika Syarikat dan Eropah bagi memeriahkan acara.

Perlumbaan ini bakal menyaksikan 22 pemandu dari seluruh dunia mempertaruhkan kejuaraan di litar ini.

Apa yang menarik, daripada jumlah tersebut, tujuh merupakan pelumba wanita.

Acara berprestij ini secara tidak langsung akan memacu kemodenan dan keterbukaan Arab Saudi ke masa hadapan apabila membuka pintu kepada dunia untuk melihat sendiri perubahan negara anbia itu.

Rancangan transformasi Arab Saudi menuju Visi 2030 yang didorong oleh Putera Mahkota Mohammed Bin Salman bagi meningkatkan pembangunan sosial, ekonomi dan teknologi bermula sedikit demi sedikit.

Formula E untuk Arab Saudi merupakan satu perlumbaan yang menarik dan lebih besar daripada satu acara sukan, legasi ini melangkaui trek ke dalam masyarakat.

Ini merupakan gabungan penganjuran yang unik apabila acara sukan dan hiburan digabungkan di bawah satu bumbung.

Pengunjung bakal dihiburkan beberapa nama terbesar di dunia muzik, David Guetta, OneRepublic, The Black Eyed Peas, Enrique Iglesias, Amr Diab dan Jason Derulo.