BIARPUN tidak bersaing dengan 22 pemandu lelaki kereta eletrik (Formula E) di litar perlumbaan Ad-Diriyah pada Sabtu, kehadiran sembilan pelumba wanita Formula E ke Riyadh, Arab Saudi membawa mesej penting kepada dunia.

Selain ingin menyebarkan aura positif kepada golongan wanita, sembilan srikandi litar lumba ini turut ingin menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan Arab Saudi yang akhirnya membenarkan wanita di negara ini memandu kenderaan.

Sembilan pelumba wanita ini akan bersaing di litar pandu uji sepanjang 2.847 kilometer dengan 21 pusingan pada Ahad ini

Mereka akan berlumba di litar yang sama digunakan 22 pelumba lelaki daripada 11 pasukan yang akan bersaing pada Sabtu.

Pelumba wanita ini berharap kedatangan mereka dapat menjadi pemangkin semangat kepada wanita yang meminati sukan lumba kereta.

(Dari kiri) Celia dan Alice (dua, kanan) pada sidang media sewaktu memperkenalkan pelumba wanita Formula E ke Riyadh, Arab Saudi, hari ini.

Menurut pemandu Viessman Jaguar, Celia Martin, perlumbaan ini menunjukkan perkembangan yang positif dan memberi peluang baik kepada golongan wanita.

"Saya berharap wanita di luar sana terutamanya yang berada di Arab Saudi untuk menginspirasikan langkah yang kami ambil.

"Saya amat teruja kerana terpilih menjadi barisan sejarah yang bakal dicipta," katanya pada sidang media memperkenalkan barisan pelumba wanita, di Ad-Diniya, hari ini.

Sementara itu, pemandu Rahal Letterman Lanigan, Alice Powell berkata, Formula E mempunyai trek yang menarik dan mencabar.

"Ujian pertama kami akan berlangsung Ahad ini dan saya difahamkan ramai wanita akan hadir untuk menyaksikan kami berlumba.

"Saya berharap, kami dapat menyebarkan aura positif kepada semua wanita di dunia terutamanya di Arab Saudi," katanya.

Tambah Powell, biarpun masih ada negara yang melarang wanita memandu, tetapi sebenarnya tidak akan menghalang wanita dari terus memecah tradisi ini.

Pada 24 Jun lalu, larangan memandu ke atas golongan wanita Arab Saudi ditamatkan secara rasmi.

Penarikan semula larangan itu yang diadakan selepas operasi besar-besaran ke atas aktivis wanita adalah sebahagian daripada usaha Putera Mahkota Mohammed Salman untuk memodenkan negara pengeluar minyak itu.