PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya pengalaman tewas 0-2 ditangan Vietnam pada peringkat Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 memberikan pengajaran kepada anak didiknya untuk memperbaiki sebarang kelemahan menjelang aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Jelasnya, dia percaya barisan pemainnya telah mempelajari dan memperbaiki mutu permainan bagi memastikan kemenangan diraih.

"Kita tewas 0-2 dalam peringkat kumpulan, jadi saya rasa dan percaya pemain mempelajari situasi berkenaan dan mula mempebaiki kekurangan pada aksi di tempat lawan.

"Untuk aksi di Bukit Jalil, saya lihat pemain mempamerkan semangat dan keyakinan tinggi untuk meraih kemenangan dan bekalan sebelum berkunjung ke tempat lawan dengan bekalan selesa sebelum aksi kedua pada 15 Disember nanti," ujarnya.

Pada masa sama, Cheng Hoe mahu skuad Harimau Malaya mengekalkan momentum, corak permainan dan keyakinan menjelang perlawanan akhir nanti, setelah menunjukkan keyakinan dan komitmen yang tinggi semasa aksi separuh akhir menentang Thailand.

“Kita yakin mampu mencatat keputusan yang baik pada Selasa ini ketika beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil. Pemain kena berdisiplin dan semangat kena kuat,” katanya.