JENAZAH pelumba CP150, Mohd Hafiz Nor Azman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai, sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Kampung Serdang Permai oleh lebih 500 jemaah.

Jenazah Mohd Hafiz tiba di kediamannya dari Hospital Kota Tinggi, Johor sekitar jam 5.30 pagi.

Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut hadir, Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How;  Adun Teja, Sandrea Ng Shy Ching dan Pegawai Khas Menteri Besar, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh mewakili Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bapa Allahyarham, Nor Azman Mad Darus, 54, melahirkan rasa syukur selepas semua proses hingga pengkebumian, berjalan lancar.

Katanya, urusan jenazah di Hospital Kota Tinggi selesai dalam jam 10 malam sebelum dibawa pulang ke Ipoh.

"Terima kasih kepada semua sababat dan rakan, lagi-lagi yang datang dari jauh," katanya.

Dia berkata, isterinya, Rohana Hamzah, 52, paling terkesan dengan pemergian Allahyarham.

"Memang setiap kali ada perlumbaan, saya dan isteri turut serta teman dia. Malam sebelum kejadian dia minta izin nak tidur dengan maknya, sebab itu sampai sekarang isteri saya masih belum dapat terima kehilangan ini," katanya.

Mohd Hafiz yang baru tamat menjalani latihan amali bakal menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal (automotif) di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, semester depan.

Pelumba berusia 22 tahun dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Penawar, Johor semalam.