KEDAH menamatkan penantian mereka untuk merangkul kejuaraan sulung  Piala Tun Sharifah Rodziah selepas menewaskan Melaka 2-0 pada aksi final di Stadium Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, hari ini.

Dua gol Kedah pada perlawanan berkenaan dijaringkan oleh Nur Hidayati Amirudin pada minit ke-39 dan Atin Surang pada masa kecederaan babak kedua perlawanan, demikian menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam catatan terbaharu laman Facebooknya.

Untuk rekod, Kedah sekadar muncul naib juara tahun lepas setelah kalah 0-1 kepada Sarawak yang tidak mengambil bahagian pada tahun ini.

Pemain Kedah Atin Surang (tengah) membuat percubaan ke gawang Melaka pada perlawanan akhir Piala Tun Sharifah Rodziah 2018 di Stadium UiTM Shah Alam hari ini.

Sebanyak lapan pasukan menyertai kejohanan berkenaan iaitu Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, Selangor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah.

Kejohanan yang mula diperkenalkan pada 1976 dengan nama Kejohanan Bola Sepak Wanita Antara Negeri, cetusan idea isteri bekas Perdana Menteri yang pertama, Tun Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Wanita Malaysia (PBWM) ketika itu.

Untuk rekod, Sabah pemenang terbanyak kejohanan iaitu sebanyak 11 kali pada 1988, 1991, 1992, 1993, 1994, 1995, 1996, 1997, 1998, 2003 dan 2004. - Bernama