PERTAHANAN negara, Aidil Zafuan Abd Radzak mengharapkan Tan Cheng Hoe terus dikekalkan selaku pengendali skuad Harimau Malaya walaupun gagal membimbing skuad negara menjulang Piala AFF Suzuki 2018.

Jelasnya, pengendali berusia 50 tahun itu berjaya memenuhi sasaran yang diletakkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk beraksi dipentas akhir.

"Cheng Hoe cukup berdedikasi dalam menjalankan tugasnya selain sentiasa berusaha untuk membawa skuad negara ke tahap yang lebih baik.

"Ini dapat dibuktikan dalam kempen Piala AFF Suzuki 2018 apabila Cheng Hoe dapat menepati sasaran membawa Malaysia ke pentas final sebagaimana yang diletakkan FAM.

“Bagi saya beliau sudah buat terbaik untuk pasukan dan lakukan apa sahaja demi mencapai sasaran dalam kempen kali ini cuma kita tidak jadi juara.

“Saya berharap beliau dikekalkan walaupun jika selepas ini saya tidak lagi berada di dalam skuad kebangsaan. Beliau adalah individu selayak layaknya untuk jadi ketua jurulatih kebangsaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media sejurus tamat perlawanan malam kelmarin.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini menjelaskan nasib Cheng Hoe hanya akan ditentukan selepas beliau mendapatkan laporan penuh berhubung prestasi skuad Harimau Malaya dalam kejohanan itu.

Cheng Hoe dilantik sebagai pengendali skuad negara Disember tahun lalu, menggantikan Nelo Vingada dari Portugal yang melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan walaupun baru mengendalikan skuad negara selama tujuh bulan.