PERSATUAN Skuasy Perak hanya menunggu 'lampu hijau' daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) bagi menamakan bekas pemain kebangsaan, Kenneth Low sebagai jurulatih sepenuh masa skuad skuasy negeri.

Presidennya Low Sean Hooi berkata, kehadiran Kenneth diharap dapat membantu mengembalikan kegemilangan sukan skuasy di Perak seperti era-80an lalu.

Justeru menurutnya, pihaknya sangat berharap agar Kenneth yang kini berstatus jurulatih separuh masa bagi skuad skuasy negeri dapat 'dinaikkan pangkat' selaku jurulatih sepenuh masa.

"Sebagai makluman, setakat ini kita hanya memiliki seorang jurulatih sepenuh masa dan tiga jurulatih separuh masa.

"Oleh itu kita sangat berharap dapat memiliki seorang lagi jurulatih sepenuh masa," katanya.

Sean Hooi berkata demikian sempena Majlis Makan Malam meraikan pemain skuasy negeri di Dewan Bulan Sabit Merah, malam tadi.

Difahamkan, seramai 14 pemain  daripada skuad pembangunan skuasy negeri diraikan pada majlis berkenaan yang disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh.

Sementara itu Kah Woh berharap agar sukan skuasy menerima pengiktirafan di negara ini.

Kah Woh yakin pengiktirafan berkenaan bakal menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain untuk beraksi cemerlang dan bawa pulang kejayaan.

"Sudah tiba masanya sukan skuasy menerima pengiktirafan bagi melahirkan lebih ramai pemain.

"Ini kerana masih ramai pemain skuasy berbakat dari seluruh negara yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi suatu hari nanti," katanya.