MALAYSIAN  Tigers mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia 2018 apabila tewas 3-5 kepada Jerman dalam perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, malam ini.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad kendalian Roelant Oltmans tersingkir seawal pusingan pertama apabila menghuni tangga corot dalam kumpulan, sekali gus gagal melangkah ke pusingan kedua pada kejohanan 16-pasukan itu.

Jerman, yang sudah menempah slot suku akhir sebelum menentang Malaysia, bagaimanapun, tidak memberi peluang apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua permainan dengan Timm Herbruch menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Pada minit ke-14, Jerman menggandakan jaringan selepas Christopher Ruhr berjaya menewaskan penjaga gol veteran negara, S. Kumar, sebelum sekali lagi menemui sentuhannya pada minit ke-18, sekali gus meletakkan kedudukan selesa 3-0.

Pakar pukulan sudut negara, Muhammad Razie Rahim akhirnya memecahkan kebuntuan pada cubaan ketiga pada minit ke-26 dan dua minit kemudian Nabil Fiqri Mohd Noor menyempurnakan pukulan sama untuk kedudukan 2-3.

Jerman, yang sebelum ini mengalahkan Belanda 4-1 dan Pakistan 1-0, kemudian meledak gol keempat menerusi Marco Miltkau pada minit ke-39 sebelum Muhammad Razie sekali lagi merapatkan kedudukan kepada 3-4 menerusi gol kedua peribadi9nya pada minit ke-42.

Herbruch kemudian menunjukkan jalan keluar kepada Malaysia apabila mledak gol kelima Jerman pada minit ke-59.

Malaysia mengakhiri saingan Piala Dunia dengan kekalahan memalukan 7-0 kepada Belanda sebelum berkongsi mata 1-1 dengan Pakistan.

Mengikut format kejohanan, juara setiap daripada empat kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir manakala naib juara dan pasukan tempat ketiga akan bersaing pada pusingan kedua bagi memburu baki empat slot suku akhir. - Bernama