MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana beliau sudi hadir ke Stadium Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 antara Harimau Malaya menentang Vietnam.

Dalam entri di Instagram (IG) miliknya, Syed Saddiq ada meminta kebenaran kepada Tun M agar dapat melambatkan mesyuarat kabinet pada hari ini akibat pulang lewat selepas menyaksikan pelawanan malam tadi.

Namun, ternyata apa yang diharapkan oleh Syed Saddiq menghampakan selepas mendapat jawapan daripada Tun M.

"Terima kasih kerana hadir Tun M (Thank you for coming Tun M). #HarimauMalaya.

"Bro cuba minta lambatkan mesyuarat kabinet esok (hari ini) sebab perlawanan malam ini (semalam).

"Tun kata, 8 pagi dia sudah masuk pejabat. Aduh," tulisnya.

Rata-rata mengakui terhibur dengan jawapan yang diberikan oleh Tun M dan memuji sikapnya yang berdisplin dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.

"Sempoi sahaja Tun jawab, tak kata ya, tak kata tidak... atau dalam erti kata lain, fikirlah sendiri, orang tua boleh masuk jam 8 pagi, orang muda tak akan tak boleh ha ha," tulis jai525_dr.

"Tun M terbaik... turun padang sokong pasukan Malaysia," tulis rahayu_ahmad.

"Haha... Tun comel," tulis daisymommy83.

Perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dengan Vietnam menyaksikan kesudahan kedua-dua pasukan sekadar seri 2-2 pada malam tadi.

Sementara itu, perlawanan timbal balik di Hanoi akan berlangsung pada 15 Disember  depan.