PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) tidak pernah mengadakan perbincangan rasmi dengan bekas pengendali pasukan itu, Karl Heinz Weigang meskipun terdapat khabar angin mengatakan jurulatih dari Jerman itu bakal kembali ke Perak.

Presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, mungkin Pengurus Pasukan, Datuk Azhar Ahmad pernah berbincang dengan bekas jurulatih Perak itu, namun beliau menegaskan Pafa masih belum bersemuka dengan Weigang.

“Kita kena tunggu dan lihat. Buat masa ini, tiada perbincangan rasmi dilakukan antara Pafa dan Weigang. Butir penglibatan beliau (Weigang) juga belum dapat dipastikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zainol mengesahkan bekas penyerang Sime Darby, Razali Umar Kandasamy yang pernah mencipta nama bersama negeri itu suatu masa dahulu kini sah menyarung jersi The Bos Gaurus.

Menurutnya, kuota pemain tempatan yang kosong sebelum ini diisi pemain berkenaan dan beliau boleh diturunkan dalam baki saingan Liga Super yang akan bermula nanti.

“Saya difahamkan, Razali mengikuti latihan bersama skuad Perak sebelum kita mendaftarkannya lagi. Dia boleh bermain untuk Perak dalam baki perlawanan kita,” ujarnya.

Ketika ditanya berkenaan isu kekecohan di Stadium Perak, Ipoh ketika perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 15 April lalu, Zainol memaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum memanggil Pafa.

Bagaimanapun, Pafa bersedia menghadap Jawatankuasa Tatatertib FAM dan memberikan keterangan berhubung kekecohan yang berlaku pada malam tersebut.