PENANG Black Panthers dan ATM Guardians akan mengulangi perseteruan mereka musim ini apabila kedua-dua pasukan berentap dalam perlawanan akhir Sepaktakraw League (STL) Champions Cup yang juga aksi penutup tirai STL 2018, malam ini.

Dalam aksi separuh akhir di Gem In Mall Cyberjaya pada Sabtu, Penang Black Panthers mengesahkan kemaraan dengan menafikan hajat besar Negeri Sembilan Antlers untuk melakar kejutan menerusi kemenangan straight set 2-0.

Regu Syahir Rosdi-Zaim Razali-Aekkasit Naphom berdepan tentangan sengit Niphat Wongprasoet-Syaqreenqamar Salehan-Khairolzaman Hamir Akhbar sebelum menang 21-19, 21-17 sekaligus memastikan peluang juara STL Premier itu untuk menamatkan saingan dengan gelaran berganda buat musim kedua berturut-turut masih dalam landasan yang tepat.

Pengendali Penang Black Panthers Helmi Ismail berkata, "Ia perlawanan yang sebenarnya cukup mencabar walaupun kita menang straight set, pemain menunjukkan kekuatan mental yang cukup baik dan sekarang kita sudah sampai ke final, kita mahu habiskannya sebagai juara."

Helmi bagaimanapun mengakui untuk menewaskan ATM Guardians, pasukannya perlu berada pada tahap prestasi terbaik dan tidak boleh hilang fokus memandangkan pasukan itu diketahui mempunyai kualiti setara untuk menyaingi mereka.

Ketika dalam STL Premier, kedua-dua pasukan bersaing sengit sejak dari minggu pertama sebelum Penang Black Panthers mengesahkan kejuaraan buat musim ketiga berturut-turut pada hari terakhir saingan.

Dalam pada itu, ATM Guardians pula mara ke final setelah menewaskan Kelantan Warriors dalam pertarungan tiga set.

Regu Nazmi Najib-Norfaizzul Razak-Khairuddin Adenan menang set pertama 21-10 sebelum kecundang 14-21 kepada gandingan Hisyam Mat-Aidil Aiman Azwawi-Wan Naim Izani Wan Noor di set kedua.

Kemasukan Hairul Hazizi Haidzir membantu ATM Guardians tampil lebih yakin di set ketiga dan menang mudah 21-10.

"Kita tidak ingin kecewa sekali lagi setelah terlepas kejuaraan STL Premier, ini peluang terbaik menamatkan musim dengan satu piala dan kita perlu rebut peluang ini. Mereka mungkin ada sedikit kelebihan kerana ada pemain import tetapi kita sudah sedia berikan tentangan," kata jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah.

Perlawanan akhir antara Penang Black Panthers dan ATM Guardians akan berlangsung Ahad jam 8 malam ini.