SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mencemar duli turun menyaksikan Cabaran MuayThai Dunia Di-Raja Kedah atau Z1 2018 pada malam kedua kejohanan di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri MIEC,  Langkawi baru-baru ini.

Turut berangkat Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Hamid Thani Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Kedah, Tunku Shazuddin Sultan Sallehuddin yang merupakan Penasihat Persatuan MuayThai Negeri Kedah, dan Exco Perlancongan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris.

Pengarah teknikal kejohanan, Zahari Ahmad Razali berkata, kejohanan selama dua hari itu mendapat pengiktirafan daripada World Muay Thai Council dan Persatuan Muay Thai Malaysia.

Menurutnya, pendedahan berguna turut diperolehi oleh peserta tempatan iaitu pemenang pingat emas Sukan Malaysia Sukan Perak 2018 bagi sukan muay thai,  Saifullah Ismail dalam kategori Lelaki 53kg.

Juara Super 4 Z1 kategori 57kg, Enzo Petrisic (kanan) ketika mengasak lawannya, Jetle Singpatong dari Belgium pada perlawanan akhir.

"Kejohanan yang berlangsung selama dua hari ini turut mendapat kerjasama daripada Z1 International dan Persatuan MuayThai Negeri Kedah.

Seramai 28 peserta muay thai mengambil bahagian pada edisi kali ini dengan dibahagikan kepada 5 kategori dan antara kategori yang dipertandingkan termasuklah Lelaki 57kg,  Lelaki 53kg,  Wanita 56kg,  Female Super Fight dan Male Super Fight," katanya.

Zahari berkata, empat negeri menyertai Z1 pada tahun ini yang terdiri daripada wakil negeri Kedah,  Kelantan,  Perak dan Wilayah Persekutuan

Turut mengambil bahagian dalam Z1 adalah wakil Muaythai dari pelbagai negara seluruh dunia antaranya,  Brazil,  Rusia,  Perancis,  Australia, Belgium,  Itali dan Thailand.

"Kejohanan pada kali ini turut mempertandingkan nama-nama besar dalam sukan muay thai antaranya adalah Semanut dari Thailand, Miriam Sabot (Italy), Enzo Petrisic (Perancis) dan Nong Rose (Thailand)," katanya.