PEMAIN professional negara, Ahmad Aidil Abdul Halim, 22  mempamerkan aksi membanggakan selepas muncul naib juara acara Masters pada Kejohanan Boling 'The Masters'  di Sunway Megalanes, Petaling Jaya, semalam.

Anak jati Kuala Lumpur berusia 22 tahun yang menguasai pusingan kelayakan, tewas 193-203 dan 187-257 kepada bekas juara dunia, Cho Young-Seon dari Korea Selatan pada aksi final stepladder.

Pemain elit negara, Muhammad Rafiq Ismail yang masih segar dengan kejayaan meraih kejuaraan dunia di Hong Kong, baru-baru ini, menamatkan saingan di tangga ketiga selepas tewas pada aksi separuh  akhir  kepada  Young-Seon.

Selaku juara, Young-Seon membawa pulang  RM40,000 dan trofi kejohanan, manakala  Ahmad Aidil dan Muhammad Rafiq masing-masing meraih RM20,000 dan RM15,000 selaku naib juara dan pemenang  tempat  ketiga.

Ahmad Aidil ternyata gembira dengan kejayaan tersebut walaupun gagal dalam misinya untuk  meraih  kejuaraan pada kejohanan tersebut yang turut melibatkan peserta wanita.

"Saya tetap bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT. Gelaran naib juara pun tidak kurang hebatnya kerana saya tewas kepada bekas juara dunia," katanya yang dipetik dalam kenyataan dikeluarkan  Sunway Megalanes.

Pemenang pingat emas acara 'All-Event' Sukan Malaysia 2014 itu berharap kejayaannya hari ini  membuka  peluang kepadanya untuk diberi peluang mewakili skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Kejohanan Boling 'The Masters'  turut disertai beberapa peserta dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Singapura,  Hong Kong, Australia dan Indonesia. - Bernama