PETRONAS Dagangan Berhad dengan kerjasama syarikat penerbangan tambang murah negara, AirAsia akan menerbangkan ekor Harimau Malaya ke aksi final kedua  Piala AFF Suzuki di Hanoi, Vietnam, esok.

Menerusi kerjasama itu, Petronas Dagangan akan menaja bahan api jet untuk penerbangan AirAsia berdiskaun yang menerbangkan penyokong Harimau Malaya ke Hanoi, untuk memberi sokongan kepada skuad negara yang akan menentang Vietnam

Dengan penajaan ini, kos dikurangkan lagi RM50 setiap penumpang dan AirAsia akan mengembalikan perbezaan itu kepada semua peminat yang telah membeli tiket awal      

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya,  Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, syarikat itu bangga dapat bekerjasama dengan AirAsia, sambil menambah ia antara cara mereka menawarkan perkhidmatan bernilai tambah kepada rakyat Malaysia, selaku peneraju peruncit dalam negara.

“Kami gembira dapat bersama dengan AirAsia  dalam merealisasikan impian peminat untuk menyokong Pasukan Harimau Malaya dan menyemarakkan semangat mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Petronas, hari ini.      

Dalam hal ini, Syed Zainal Abidin juga menggesa rakyat Malaysia untuk terus menyokong pasukan negara dan berharap mereka akan beraksi dengan baik pada perlawanan itu.

Malaysia berhadapan Vietnam pada perlawanan final kedua di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi, malam esok.  

Kedua-dua pasukan  seri 2-2 dalam perlawanan final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.   

Petronas Dagangan ialah sayap pemasaran tempatan utama syarikat petroleum negara, Petroliam Nasional Bhd. - Bernama