PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) menafikan dakwaan Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bahawa mereka masih belum melangsaikan tunggakan gaji kepada pemain dan jurulatih bagi musim 2018.

Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie sebaliknya, menegaskan barisan pemain yang beraksi pada musim ini sudah menyatakan persetujuan mengenai mekanisme pembayaran tunggakan gaji menerusi satu pertemuan tertutup dengan beliau sebelum ini.

Pada masa sama, beliau turut mendedahkan PFA tidak dapat melunaskan tunggakan gaji pada musim 2016 dan 2017 kerana bekas pemain yang beraksi pada kedua-dua musim berkenaan tidak memberi sebarang dokumen pengesahan tunggakan gaji kepada PFA.

“Pemain minta hasil perbincangan tertutup yang dipersetujui bersama tidak didedahkan kepada umum dan saya perlu hormati kehendak mereka. Jadi untuk tunggakan gaji musim 2018, tidak timbul apa-apa isu.

"Untuk tunggakan gaji musim 2016 dan 2017, kita tidak dapat apa-apa rekod dan dokumen atau kontrak, jadi apabila ia tiada, kita tidak boleh buat apa-apa keputusan," kata Ahmad Amizal ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PFAM, Izham Ismail, semalam, yang mendakwa PFA masih belum menjelaskan tunggakan gaji bagi musim 2018, selain tidak mengemas kini tunggakan gaji bagi musim 2016 dan 2017 pasukan berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Amizal mendakwa tiada wakil PFAM tampil bertemu dengan beliau, sekali gus menyukarkan usaha PFA menyelesaikan isu tunggakan gaji yang membelenggu skuad Singa Utara sejak beberapa musim lalu.

"Saya sangat kecewa dengan kenyataan dikeluarkan PFAM, dan bagi saya, bukan sahaja Perlis mengalami masalah tunggakan gaji, tetapi kebanyakan pasukan di Malaysia," tegas Ahmad Amizal yang sedia mengadakan perjumpaan dengan wakil PFAM bagi menjernihkan semula hubungan kedua-dua pihak.

Terdahulu, beliau mengadakan sidang media mengumumkan bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali sebagai pemain terbaharu skuad Singa Utara pada musim depan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Safee, 34, yang beraksi dengan kelab Liga Super, PKNS FC pada musim lepas, menandatangani kontrak setahun bersama PFA. - Bernama