KERAJAAN Perak memperuntukkan RM1.5 juta sebagai insentif kepada para atlet yang berjaya mengharumkan nama negeri dalam pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, insentif itu sebagai penghargaan dan motivasi untuk para atlet berkenaan mengekalkan kejayaan yang telah dimenangi.

"Saya berharap para atlet ini akan membawa pulang lebih banyak kejayaan bukan setakat untuk negeri Perak malah kalau boleh di peringkat negara.

Saya juga ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu para atlet ini dalam mengharumkan nama negeri dalam kejohanan yang disertai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Negeri Perak 2018 di sini, hari ini.

Terdahulu, insentif berkenaan disampaikan  kepada para atlet negeri yang berjaya menggondol pingat dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma), Para Sukma, Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) yang berlangsung di Perak baru-baru ini.

Selain itu, insentif tersebut juga diberikan kepada skuad bola sepak negeri, The Bos Gaurus yang muncul juara dalam Piala Malaysia 2018 selain kejayaan pasukan hoki menjuarai Piala Razak 2018.

Ahmad Faizal berkata, beliau juga melahirkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Howard Lee Chuan How kerana berjaya melancarkan penganjuran beberapa temasya sukan di Perak meskipun berdepan sedikit cabaran.

Sementara itu, Lee berkata kejayaan menganjurkan beberapa temasya sukan mampu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai destinasi penganjuran sukan sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa.

Katanya, perkara itu juga dilihat berpotensi untuk menjana pendapatan ekonomi negeri.

"Tak kisah sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa, penganjuran sukan mampu menjana ekonomi negeri jika ia dilakukan dengan perancangan yang baik," katanya. - Bernama