HARIMAU Malaya tekad untuk muncul juara Piala AFF Suzuki 2018, sekali gus tidak mahu menghampakan harapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh rakyat Malaysia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, amanat serta kata semangat Dr Mahathir dalam pertemuan dengan skuad Harimau Malaya dan barisan kejurulatihan di Perdana Putra semalam, menyuntik semangat pasukan negara untuk beraksi cemerlang pada final itu.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir yang akan menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan, meminta skuad Harimau Malaya agar tidak mengecewakannya dan juga negara dengan berusaha untuk mencapai kemenangan.

Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Disember, sebelum aksi final kedua di Hanoi, 15 Disember ini.

“FAM terima cabaran daripada Tun Dr Mahathir untuk muncul juara Piala AFF Suzuki edisi kali ini. Skuad Harimau Malaya perlu bekerja lebih keras supaya tidak menghampakan hasrat Tun (Dr Mahathir) dan rakyat Malaysia,” kata Hamidin kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad beramah mesra bersama pemain tengah Harimau Malaya, Kenny Paul Raj pada majlis perjumpaan pemain kebangsaan di Bangunan Perdana Putra semalam.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berterima kasih dengan kata semangat diberikan Dr Mahathir berkenaan akan mengambilnya sebagai pembakar semangat.

Cheng Hoe mahu skuad Harimau Malaya mengekalkan momentum, corak permainan dan keyakinan menjelang perlawanan akhir nanti, setelah menunjukkan keyakinan dan komitmen yang tinggi semasa aksi separuh akhir menentang Thailand.

“Kita yakin mampu mencatat keputusan yang baik pada Selasa depan ketika beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil. Yang penting, seperti Dr Mahathir menyatakan bahawa barisan pemain kena berdisiplin dan semangat kena kuat,” katanya.

Malaysia mara ke perlawanan akhir selepas mengikat juara bertahan Thailand 2-2 pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok, Rabu lalu.

Keputusan itu sudah mencukupi untuk Harimau Malaya layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Disember lalu.

Sementara itu, tonggak pertahanan Aidil Zafuan Abdul Razak berkata skuad Harimau Malaya akan bermain bersungguh-sungguh untuk 'membalas dendam' setelah tumpas 0-2 kepada Vietnam dalam perlawanan peringkat kumpulan.

“Kami akan bermain bersungguh-sungguh demi negara. Kami akan berikan terbaik dalam dua aksi perlawanan akhir ini,” katanya. – Bernama