SYARIKAT simulator pesawat, Aviax Ventures Sdn Bhd (Aviax) menjangka meluaskan operasi perniagaan simulator yang merupakan entiti baharu di negara ini bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai mengendalikan pesawat komersial.
 
Pengarah Aviax, Mohd Tarmizi Shuib berkata, Aviax memperluaskan operasi perniagaannya dengan fokus kepada pelajar sekolah menengah sekitar Selangor dan sekolah berasrama penuh termasuk sekolah sains dan Maktab Rendah Sains Mara seluruh Malaysia.

Menurutnya, melalui program One Day Pilot, pelajar didedahkan perkara-perkara asas penerbangan dan pengendalian pesawat di pusat operasi simulatornya di TTDI Jaya, Shah Alam.

“Program ini dikembangkan kepada elemen-elemen pendidikan yang kita adakan kelas teori mengenai asas penerbangan seperti asas aero dinamik, asas navigasi, asas kawalan udara. Kita buka kepada 40 pelajar setiap sesi dengan bayaran RM90. Program ini bermula jam 9
hingga 6 petang melibatkan pelajar sekolah menengah sahaja. 

“Kita perkenalkan program ini di sekolah untuk memberi peluang dan berkongsi pengetahuan kerana pengajaran mengenai penerbangan amat terhad di sekolah. Sesi pembelajaran dalam kelas seperti subjek Sains dan Matematik, Fizik hanya kepada teori tetapi di sini, kita akan
ajar asas hubung kait yang mereka belajar di sekolah.

“Kami mementingkan bahasa Inggeris. Kita pecahkan pelajar kepada tiga kumpulan. Menariknya dalam sesi kelas kawalan udara, mereka belajar penggunaan bahasa dan cara betul yang digunakan antara juruterbang dan pusat kawalan udara,” katanya.

Tambahnya, juruterbangnya akan memberikan pendedahan dan maklumat asas menjadi juruterbang dan lebih 400 pelajar mengikuti program itu sejak diperkenalkan pada hujung 2013.