Wanita ini tidak pernah menyangka jodohnya dengan lelaki bangsa asing berlainan benua. Bak pepatah ikan di laut asam di darat, dalam kuali bertemu jua. Ternyata jodohnya dengan pemuda bernama Asadullah Stumbrys, 33 tahun, adalah di tanah air Malaysia melalui kenalan abangnya.

Tempoh kenal cukup singkat dan setelah melakukan solat istikharah akhirnya wanita ini tidak teragak-agak memilih lelaki bertubuh sasa ini sebagai suami. Hampir tiga tahun berkahwin, Siti Safuraa Hamzah, 32 tahun, berasal dari Terengganu ini dianugerahkan cahaya mata yang sangat comel, iaitu Dhuhaa Sophea Stumbrys, 5 bulan.

Namun desakan tugas suami tersayang menyebabkan dia kini mengikut suami yang bekerja di Sweden. Biarpun dia satu-satu ahli keluarga yang kahwin berlainan bangsa dan negara, tetapi beliau akui cukup bahagia dengan kehidupan yang dilalui sekarang.

Kebahagiaan pasangan ini dan anak comel mereka dapat dilihat melalui perkongsian gambar di laman sosial.

Kecomelan Dhuhaa Sophea memikat hati pengikut di laman instagram Safuraa yang kini hampir 19.2k

Setiap hari akan update keletah comel anak hasil percintaan dua benua.

Safuraa yang juga bekas model Muslimah popular ini juga turut berkongsi tip untuk kekal bahagia berkahwin dengan bangsa asing. Baginya tidak susah dan apa yang penting ada kejujuran.

Pertama, perlu ada kesabaran dan persefahaman antara satu sama lain. Ini penting bagi membina fasa kehidupan baru. Saling bertoleransi bagi mengukuhkan hubungan sedia ada.

Kedua, perlu faham budaya,  adat dan pemikiran pasangan kita. Bukan sahaja berkahwin dengan bangsa asing, tetapi juga jika sama bangsa. Agar kita tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Ketiga, periksa dulu latar belakang keluarganya dan lihat bagaimana hubungan dia dengan ahli keluarga lain. Pastikan keluarga dia menerima kita seadanya. Pandai-pandailah mengambil hati keluarga baru pasangan kita.

Keempat, bawalah berjumpa keluarga dan lihat sejauh mana penerimaan keluarga kita pada pasangan berlainan bangsa ini. Terangkan pada keluarga si dia ini bagaimana sifatnya dan kesanggupan untuk berkahwin dengan kita.

Kelima, pula sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri kita ke arah lebih baik. Belajar daripada kesilapan dan sedia terima teguran.

Seterusnya, perlu sentiasa ambil hati keluarga mentua dan layan dia sebaiknya kerana dialah ahli keluarga paling dekat jika berjauhan dengan keluarga sendiri.

Ketujuh, pandailah ambil hati ahli keluarga lain dan jangan biarkan mereka nampak kita seolah-olah lemah di kalangan mereka. Tanya apa yang dia suka buat dan jika boleh kita berusaha untuk mempelajarinya.

Kelapan, usah sesekali bersangka buruk pada pasangan. Tidak salah bercinta selepas kahwin kerana keindahan dan kenikmatannya lebih terasa. Perlu kuat mental dan fizikal.

Kesembilan sentiasa berfikiran positif dan jangan sesekali syak wasangka dengan pasangan. Siasat dulu apa terjadi dan jangan buat tuduhan secara melulu.

Dan yang terakhir, percayalah dia Imam terbaik untuk kita dan sentiasa berserah pada Allah agar hubungan diberkati.

SUMBER: INSTAGRAM SITI SAFURAA