KUALA LUMPUR - Sebanyak 14 kes baharu keracunan alkohol dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Perak sehingga tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat tengah hari tadi menerima tujuh aduan dari negeri Selangor, dua dari Kuala Lumpur dan lima dari negeri Perak menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 68 kes direkodkan sejak Isnin lalu.

"Jumlah kematian adalah sebanyak 21 kes iaitu 16 kes di negeri Selangor, tiga kes di Kuala Lumpur dan dua kes di negeri Perak," katanya.

Sejak Isnin lalu, seramai 21 orang yang terdiri dari warga asing dan tempatan meninggal dunia dan berpuluh lagi dirawat di hospital di sekitar Lembah Klang dan Perak akibat keracunan alkohol.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang meneruskan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara.

Katanya setakat ini, sebanyak 68 premis yang menjual arak telah diperiksa di mana 647 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 telah disita.

"Di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya .

Beliau  menasihati orang ramai supaya  tidak meminum  minuman beralkohol yang dikhuatiri tercemar dengan metanol. - Bernama