Merujuk kitab perubatan purba Cina sejak berkurun–kurun yang lampau, kurma merah atau Hongzao selalu digunakan sebagai ramuan ubat yang mustajab. Malah sehingga kini, ia masih diangkat sebagai superfood kerana berkhasiat tinggi. Masyarakat Cina sendiri sering mencampurkan kurma merah dalam masakan bubur, sup, tonik herba dan pencuci mulut manakala air rebusannya menjadi amalan wan i ta dalam pantang untuk memanaskan tubuh serta menambah bekalan susu badan.

Sering dilabelkan sebagai ‘the king of nuts’, kurma merah kering dengan isinya yang lembut dan beraroma manis sering kali ditemui sebagai penambah rasa yang istimewa. Pemilik nama saintifik Ziziphus jujuba itu juga merupakan sejenis tanaman berbiji yang kaya akan vitamin dan mineral lainnya terutamanya kandungan Vitamin C. Malah kajian turut mendapati ia mengandungi sehingga 70-80 kali Vitamin C lebih tinggi daripada buah anggur dan epal.

Selain Vitamin C, kurma merah juga meriah dengan kandungan Vitamin A, B1, B2, protein, kalsium, fosforus, zat besi dan magnesium. Sekali gus menjadikan kurma merah sebagai pilihan terbaik untuk mereka yang mengalami masalah kesihatan yang serius. Pengambilannya secara konsisten turut berhasil untuk meningkatkan produksi sel darah putih, yang menguatkan imuniti badan dan melindungi hati.

Ia juga dipercayai berkesan untuk menyekat kemaraan sel-sel penyebab kanser dan mengurangkan kolesterol. Di dalam uku teks herba Cina tradisional pula, kurma merah dikatakan baik untuk menguatkan fungsi limpa dan Qi (tenaga) perut, di mana ia dapat membantu proses penghadaman yang lebih baik, melancarkan darah serta menenteramkan minda.

UNTUK WANITA

Terkenal sebagai alternatif untuk memperkayakan dan menambah darah, kurma merah sering diamalkan oleh wanita Cina pada masa-masa tertentu setiap bulan. Ia sering dianggap sebagai eliksir herba untuk kulit yang awet muda. Malah bagi yang sedang cuba hamil, ia juga didakwa mujarab untuk kesuburan wanita. Sebenarnya amalan meminum air rebusan kurma dapat membantu mengimbangi Qi tubuh serta masalah kekurangan darah. Sekali gus menormalkan kitaran haid dan meningkatkan peluang kehamilan.

Air rebusan kurma merah dan longan kering juga selalu diamalkan sewaktu berpantang. Sifat longan kering yang ‘hangat’ dikatakan bagus untuk kesihatan jantung dan buah pinggang. Lantas apabila disatukan dengan khasiat kurma merah yang baik untuk darah, minuman ini menjadi amat sempurna untuk kesejahteraan wanita selepas bersalin. Cara rebusan yang disarankan pula adalah dengan mencampurkan kurma merah, longan kering, sedikit gula perang dan daun pandan.

KESAN LAIN

Bersederhana merupakan kunci pemakanan yang sihat. Jadi meskipun kurma merah kaya dengan pelbagai manfaat, ia tidak boleh diambil secara berlebihan kerana boleh mendorong rasa kembung perut atau cirit-birit.