KUALA LUMPUR - Skandal 1MDB bakal dimasukkan ke dalam silibus mata pelajaran sejarah Malaysia sebagai usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan kesalahan tersebut tidak diulang generasi akan datang.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, penambahan silibus baharu itu termasuklah senarai kes-kes besar khazanah negara yang didakwa berkaitan dengan pimpinan terdahulu.

“Saya setuju dengan pandangan Pontian tentang sesuatu kesilapan dalam sejarah, perlu dipelajari agar tidak diulangi.

“Saya beri jaminan isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia supaya tidak diulangi. Begitu juga dengan jenayah besar yang dilakukan ahli politik dalam menyamun,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) di Dewan Rakyat, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tubuh jawatankuasa tambah baik kurikulum, buku teks sejarah]

Sebelum itu, Maszlee memaklumkan kementeriannya akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji silibus sejarah yang diguna pakai di negara ini.

“Untuk makluman dewan, KPM akan menubuhkan jawatankuasa penambahbaikan kurikulum dan buku teks sejarah, dan jawatankuasa ini akan berkerjasama dengan jawatankuasa sedia ada.

“KPM juga akan mengadakan beberapa siri wacana dengan pakar sejarawan bagi mendapatkan perspektif sejarah dengan naratif yang lebih segar dan lebih produktif,” katanya ketika menjawab menjawab soalan Hasanudin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat).