KUALA LUMPUR - Telekom Malaysia Bhd (TM) akan membuat semakan dan kajian menyeluruh bagi memastikan syarikat itu dapat menawarkan kadar harga perkhidmatan jalur lebar terbaik kepada pelanggan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, ia akan dilakukan selepas syarikat itu menaik taraf infrastruktur rangkaian telekomunikasi legasinya yang lama menggunakan rangkaian kabel tembaga kepada teknologi baharu.

Katanya, TM turut terlibat dalam perbincangan dengan kerajaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyelesaikan isu naik taraf infrastruktur legasi berkenaan.

“Rangkaian kabel tembaga ini adalah rangkaian legasi TM sejak daripada zaman sektor komunikasi di bawah pentadbiran Jabatan Telekom Malaysia lagi.

“Ia sentiasa mengalami pelbagai cabaran dan masalah terutamanya masalah keterbatasannya dari segi teknologi,” katanya katanya ketika menggulung Perbahasan Kajian Separuh Penggal RMK-11 bagi kementeriannya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, TM sedang mencari kepelbagaian alternatif melalui penggunaan pelbagai teknologi yang bersesuaian untuk memberikan pengalaman penggunaan perkhidmatan jalur lebar TM yang lebih baik dan mampu dimiliki oleh rakyat.

Sementara itu, Eddin juga berkata kerajaan menyasarkan kelajuan jalur lebar akan mencapai sekurang-kurangnya 100Mbps di kawasan bandar dan 20Mbps di kawasan luar bandar menjelang 2020.

Beliau berkata inisiatif berkenaan diharap dapat merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar sekali gus meningkatkan kadar liputan jalur lebar mudah alih serta kadar penembusan jalur lebar negara. - Bernama