Tengku Permaisuri Selangor berkenan sempurnakan Majlis Kemuncak Festival TV PSS

0
140

SUBANG JAYA – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyempurnakan Majlis Kemuncak Festival TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025 di Geno Hotel di sini, pada Rabu.

Keberangkatan baginda itu pada jam 10.10 pagi itu disambut Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.

Baginda turut diiringi Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewakili Ketua Pengarah Pendidikan, Aniza Kamarulzaman serta Timbalan Pengarah BSTP KPM, Moktar Wahid.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif Sinar Harian, Azmi Tarmizi dan Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, diikuti lagu kebesaran negeri Selangor diikuti bacaan doa oleh Editor Sinar Islam Plus, Muhamad Tarmize Mohd Nor.

Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan lafaz perasmian dan mencemar duli menyampaikan anugerah utama Festival TV PSS Sinar Bestari 2025 iaitu Anugerah Guru TVPSS Terbaik, Anugerah Video TV PSS Terbaik Sekolah Rendah dan Anugerah Video TV PSS Terbaik Sekolah Menengah.

Terdahulu, baginda turut berkenan menyaksikan persembahan penyanyi popular, Khai Bahar.

Festival terbabit turut dimeriahkan dengan persembahan tarian Burung Kerak Nasi oleh murid SK Jalan 3, Bandar Baru Bangi, manakala pencak silat oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 4, Subang Jaya.

Selepas majlis berakhir, Tengku Permaisuri Norashikin turut dibawa melawat ke ruang pameran yang disediakan.

Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025 berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Utama Geno Hotel.

Program berprestij menghimpunkan 32 penyertaan dari 16 negeri seluruh negara melibatkan kategori SK dan SMK terbabit merupakan anjuran bersama Sinar Bestari dengan kerjasama BSTP KPM.

Terdapat lapan kategori dipertandingkan iaitu pengacara terbaik, jurukamera terbaik, penyunting terbaik, pengarah terbaik, guru TV PSS terbaik serta penerbitan video terbaik.

Festival itu mengetengahkan tema Transformasi Digital, Kelestarian Sejagat, Kreativiti Tanpa Batasan dan Meneroka Masa Depan Teknologi dan Alam.

Sementara itu, Farah berkata, penganjuran festival terbabit merupakan wadah terbaik dalam mencungkil bakat pelajar dalam dunia penyiaran dan media digital.

“Melalui TV PSS, pelajar bukan hanya dilatih untuk menjadi penyampai berita dan pengacara,malah diasah dari segi kemahiran teknikal seperti pengarahan, suntingan, penulisan skrip dan pengendalian.

“TV PSS adalah platform generasi muda untuk bersuara, berkarya dan menyerlahkan potensi diri mereka,” katanya.

Beliau menambah, TV PSS turut menjadi pemangkin usaha memperkukuh sistem pendidikan negara dengan memupuk budaya celik digital, kolaborasi berpasukan serta kepimpinan berasaskan komunikasi.

Farah menyifatkan, langkah terbabit seiring aspirasi KPM melahirkan pelajar holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Acara turut disokong KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Talent Corp Malaysia selaku klien utama dengan sokongan Sunshine Bakeries, QSR Brands (M) Holding Bhd, KFC Malaysia serta Jasmine Food Corporation Sdn Bhd.